Rabu, 16 Januari 2013

Nikotin e-rokok Di Sarawak Di Tahap Yang Dibenarkan


KUCHING: Kandungan nikotin dalam rokok elektronik (e-rokok) atau ‘e-cigarette’ di pasaran Sarawak masih di tahap yang dibenarkan dan tiada cecair nikotin berkepekatan tinggi.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata, ia merupakan kajian yang dilakukan Jabatan Kesihatan setakat ini berkenaan e-rokok di pasaran Sarawak yang hanya mengandungi bahan tidak berbahaya terhadap kesihatan.

“Setakat ini di Sarawak, kami mendapati (e-rokok) yang ada di pasaran tidak mengandungi nikotin berkepekatan tinggi. Yang ada hanya bahan-bahan yang tidak membahayakan kesihatan.

“Maka itu, tidak sesuai bagi kita untuk mengambil tindakan menghalang penggunaan atau penjualan e-rokok berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menafikan kemungkinan sudah ada e-rokok yang dijual di pasaran sekarang turut menggunakan cecair nikotin berkepekatan tinggi.

“Kemungkinan sekarang e-rokok yang ada di pasaran sudah menggunakan cecair nikotin berkepekatan tinggi tetapi setakat pemeriksaan kita sebelum ini, memang mendapati ia tidak melebihi kepekatan yang dibenarkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar nasional Isnin lepas yang dipetik sebagai berkata, Kementerian Kesihatan memantau rapi penjualan rokok elektronik atau ‘e-cigarette’ di pasaran bagi memastikan ia tidak menjejaskan kesihatan penggunanya.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian telah mengesan terdapat rokok elektronik yang mempunyai cecair nikotin dalam pelbagai kepekatan di pasaran.

Tambahnya, pada ketika ini tiada kawalan berhubung penjualannya di negara ini kerana rokok elektronik tanpa cecair nikotin diguna untuk mengurangkan ketagihan perokok.

“Justeru, kita perlu meneliti kegunaan ‘e-cigarette’,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan